phone: +420 776 223 443
e-mail: support@londoncreative.co.uk

Wednesday, October 29, 2008

Industri burung layang-layang di Kelantan sumbang RM1.5 juta setahun

KOTA BHARU, 2 Ogos (Hrkh) - Kerajaan Kelantan dijangka dapat memunggut hasil sebanyak RM1.5 juta daripada produk burung layang-layang yang kini diternak secara meluas di Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Masyarakat, Dato' Husam Musa berkata, pendapatan itu bakal diperolehi daripada bayaran deposit dan lesen menternak burung.
"Sehingga kini terdapat lebih 200 pengusaha di seluruh Kelantan," katanya selepas menerima memorandum daripada Persatuan Pengusaha Industri Sarang Burung Layang-layang Kelantan, di sini hari ini.
Memorandum berkenaan diserah pengerusinya, Tan Choon Hwa.
Husam berkata, kutipan hasil dijangka bertambah pada masa akan datang berikutan bilangan pengusaha yang semakin meningkat.
Beliau juga memberi jaminan akan mengentengahkan rayuan persatuan berkenaan berhubung kadar lesen tahunan yang dicadang mereka diselaras kepada RM500 setiap rumah burung tanpa mengira keluasan atau jumlah tingkat.
Menurutnya pengusaha burung tersebut mendapat keuntungan lumayan memandangkan mereka tidak perlu menyediakan keperluan makanan kepada burung yang singgah di rumah disediakan.
"Pengusaha hanya perlu menyediakan rumah sahaja, jadi sudah tentu kos yang dikeluarkan tidak besar," ujarnya.
Sebelum ini pengusaha dikenakan bayaran sebanyak RM1,000 setiap tahun bagi saiz rumah burung seluas 1,000 kaki.
Bagaimanapun memorandum daripada pengusaha tersebut mahu kerajaan negeri mengurangkan bayaran kepada RM500 setahun.
Husam turut mencadangkan pengusaha mempelbagai produk termasuk memasak terlebih dahulu produk yang dihasilkan bagi membolehkan ia dieksport ke luar negara antaranya China, Thailand, Hong Kong dan Jepun.
Tan Chon Hwa merakam ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana begitu prihatin terhadap masalah dihadapi pengusaha industri terbabit termasuk mengeluarkan lesen kepada mereka.
Katanya, dengan adanya lesen pengusaha burung layang-layang dapat menjalankan perniagaan secara sah.
Bagaimanapun mesyuarat kami di Kota Bharu semalam telah menerima pandangan dan rayuan daripada ahli terhadap jumlah bayaran lesen yang telah diumumkan kerajaan baru-baru ini.
"Untuk itu kami di sini ingin merayu agar kerajaan negeri mempertimbangkan iaitu kadar lesen tahunan diselaraskan kepada RM500 setiap rumah burung tanpa berpandukan keluasan atau jumlah tingkat," ujarnya.
Sementara itu, Husam juga berkata, rakyat Kelantan digalak memproses pokok depu sebagai produk seperti kayu gaharu memandangkan ia banyak didapati di kawasan pertanian atau dusun.
Katanya, sebelum ini hanya pokok gaharu sahaja yang boleh digunakan untuk membuat wangian, bagaimanapun hasil teknologi sekarang pokok depu juga boleh mengeluarkan haruman seperti gaharu.
Sebagaimana yang kita tahu, pokok ini begitu mahal di pasaran antarabangsa dan dengan perkembangan ini ia merupakan berita gembira buat penduduk di kampung.
"Mereka boleh mencari rezeki bukan sahaja menerusi industri burung layang-layang, sebaliknya mencari pokok depu untuk dijadikan bahan pewangi," ujarnya.

1 comments: